Terima Kasih, Ya Rabb (part 2)

Sejadah yang bergantungan di tepi almari itu aku angkat. Selesai berwudhuk, aku mencapai telekung di atas katil kemudian menunaikan solat Isyak. Usai memberi salam, aku terduduk. Entah bagaimana aku bangun untuk mengqada’kan solat Maghrib yang aku telah tinggal tadi. Aku bukan seorang yang sering meninggalkan solat. Cumanya aku sering melengah-lengahkan solatku dan jika terlepas, aku susah untuk mengqada’kannya. Di asrama dahulu, segalanya diatur. Solat tepat pada waktunya dan berjemaah di masjid bersama rakan-rakan yang lain.

Usai menunaikan solat Maghrib, aku terduduk di atas sejadah. Air mata jatuh berlinangan lagi. Perlahan kemudiannya semakin deras. Aku menadah tangan dan mengadu sehendaknya kepada Yang Maha Esa.

‘Ya Allah, ampunilah segala dosaku. Peliharalah aibku. Peliharalah aku daripada segala maksiat dan godaan syaitan. Kau jauhkanlah aku daripada seksaan api neraka. Ya Allah, sekiranya inilah petunjuk daripada-Mu agar aku berpaling daripada kejahilan dan terus ke arahMu, aku redha. Terima kasih, Ya Allah,”
Air mataku terus mengalir membasahi telekung. Tanpaku sedari, aku terlelap di atas sejadah itu.

Pagi esoknya, selesai menunaikan solat sunat Tahajjud, taubat dan solat fardhu Subuh. Aku teruskan membaca Al-Mathurat. Habis membaca doa, telefon bimbit ku berdering. Aku kenal sangat pemanggilnya kerana nada dering itu aku khaskan buat dia, Adam. Aku tidak teragak-agak untuk menekan ‘reject’. Kemudian, dia menghantar pesanan ringkas.

‘Maira, I minta maaf. I pun tak tahu why I did that to you. I understand if you want a break up. I faham sangat. Sorry maira. I will never come into your life ever again. I’m very sorry maira. Goodbye.’

Itulah yang apa yang Adam hantar.

“Allah.....” Terkeluar daripada mulutku, lemah. Dalam keadaan masih bertelekung, aku menangis lagi. Ya Allah. Hati aku menjadi bengang. Aku sama sekali tidak menyalahkan Adam. Sebenarnya, sejak semalam, sejurus selepas aku melangkah keluar daripada kereta, aku tahu bahawa apa yang berlaku ini semuanya ialah salah aku sendiri. Ya Allah. Adam... aku harap inilah kali terakhir namanya aku ukir di bibir ini. Biarlah semuanya menjadi satu pengajaran bagiku, menjadi satu batu loncatan supaya aku boleh menaikkan semangatku dalam perjalanan mencari hidayah Allah.

Sebulan selepas itu, mama memberitahu satu berita gembira kepadaku.

“Maira, nah hadiah hari jadi Maira tahun ini. Mama harap Maira suka ye,”kata mama lalu menghulurkan kepadaku sekeping kertas.

“Apa ni mama?” tanyaku sambil meniti setiap perkataan diatas kertas itu.

“Umrah? Mama.........” teriak aku kecil lantas aku terus memeluk mama dengan erat.


Ya Allah, inikah petunjuk kepadaku? Alhamdulillah.

Comments

  1. Thanks. You've opened my heart towards something bigger. God bless you.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

A tight hug.

Terima Kasih, Ya Rabb (part 3- final)

shitty poem (a.k.a. the-aftermath-and-how-i-feel-after-watching-dylan-o-brien-and-britt-robertson-making-love-as-a-high-schooler poem)